company logo

Home PERKHIDMATAN Pembangunan Komuniti Organisasi Komuniti
Organisasi Komuniti PDF Print E-mail

 

UNIT KHIDMAT PENYAYANG


Dalam usaha menentukan kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan, JKM memberi keutamaan terhadap peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan. Salah satu mekanisme untuk mencapai hasrat tersebut adalah melalui perluasan dan peningkatan jentera penyampaian perkhidmatan sedia ada kepada masyarakat khususnya kumpulan sasar sehingga ke peringkat akar umbi tanpa mengira di mana mereka berada.
Program UKP merupakan satu program pendampingan sosial atau social outreach untuk mendekatkan JKM kepada masyarakat khususnya masyarakat terpinggir, daif, miskin dan yang sukar mendapat bantuan. Melalui pendekatan outreach yang digunakan, urusan penyampaian perkhidmatan tidak lagi hanya tertumpu di pejabat sebaliknya pegawai dan kakitangan yang terlibat akan keluar mendampingi dan mengenalpasti kumpulan sasar bagi menyampaikan perkhidmatan yang diperlukan. UKP berkonsepkan kepada perkhidmatan bergerak untuk mengendalikan khidmat bantuan dan rujukan secara berpusat bagi membantu individu, komuniti dan golongan lain yang memerlukan di kawasan setempat melalui perkhidmatan dan program yang disediakan pleh JKM, agensi lain dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan.

Fungsi:

  1. Unit Operasi Bencana
  2. Pusat Perkhidmatan Jabatan
  3. Pusat Pengurusan Pembayaran Bantuan dan pemberian Bantuan Segera melalui Tabung Bantuan Segera (TBS)
  4. Pusat Khidmat Nasihat dan Kaunseling
  5. Pelaksanaan Program Advokasi Berkaitan Akta-akta dan Perkhidmatan serta Pameran
  6. Pusat Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) Pusat Rujukan yang melibatkan agensi lain di bawah KPWKM (Hari Bersama Pelanggan) dan lain-lain agensi.

Terdapat  6 kenderaan UKP di Negeri Johor, 3 Bas Mini dan 3 Van.

 

PEMBERIAN BANTUAN GERAN PERTUBUHAN SUKARELA KEBAJIKAN (PSK)

  • Tujuan pemberian bantuan geran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan adalah untuk menggalakkan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam program dan khidmat kebajikan supaya dapat menokok tambah dan menyokong perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan.
  • Garis Panduan pemberian bantuan geran disediakan bagi menentukan syarat kelayakan dan kriteria pemberian geran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan serta kadar geran yang ditetapkan.
  • Pertubuhan Bukan Kerajaan yang layak diberi pertimbangan geran Jabatan Kebajikan masyarakat adalah seperti berikut:

a)  Pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dibawah Akta Pertubuhan 1966.
b)  Pertubuhan bertaraf tempatan.
c)  Pertubuhan yang bercorak kebajikan (welfare-related) yang mengendalikan program berbentuk pencegahan, pemulihan, jagaan dan perlindungan serta pembangunan bagi kumpulan sasar di bawah tanggungjawab dan fungsi Jabatan.
d)  Pertubuhan atau Organisasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Akta seperti Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah dibawah Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak serta Lembaga Pelawat yang di bawah Akta-Akta berkaitan.

  • Pertubuhan yang telah berdaftar dibawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi yang mengendalikan program institusi berkediaman atau Pusat Jagaan Harian

PEMANTAUAN PERTUBUHAN SUKARELA KEBAJIKAN


Pemantauan dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pemantauan di buat berdasarkan aspek tempoh sah pendaftaran Pusat Jagaan, Kewangan, Pengurusan dan Pentadbiran, Keselamatan, Kesejahteraan Penghuni serta Program dan aktiviti yang dijalankan.


GERAN


Geran Pentadbiran

Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan peringkat kebangsaan bagi menampung sebahagian kos pentadbiran.
Pertimbangan geran mengambilkira kos berikut:
a)  Emolumen: bagi seorang Pegawai (N3) dan seorang Kerani (N9) di mana jumlah geran berdasarkan Gred Skim Saraan Baru pada matagaji P1T1 iaitu RM1160.00 bagi N3 dan RM530.00 bagi N9.
b)  Sewaan Premis: di mana jumlah geran tidak melebihi RM500.00 sebulan.
c)  Kos Utiliti: di mana jumlah geran tidak melebihi RM100.00 sebulan.
d)  Yuran Tabungan: kepada Pertubuhan Antarabangsa.

Geran Rangsum
Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan yang mengendalikan program atau perkhidmatan institusi atau Pusat Jagaan Harian bagi golongan kanak-kanak yatim dan miskin, warga tua, remaja (juvana), wanita bermasalah dan orang kurang upaya kecuali Pusat Asuhan Kanak-kanak.
Kadar geran yang diluluskan oleh Perbendaharaan untuk maksud ini mengikut kumpulan sasar adalah seperti:
a)  Rumah Orang Tua: RM8.00 sehari seorang
b)  Rumah Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya, Juvana dan Wanita & Gadis: RM8.00 sehari seorang.
c)  Pusat Jagaan Harian: RM4.00 sehari seorang

Geran Perkapita / Emolumen Guru
Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan yang mengendalikan Sekolah Kanak-kanak Cacat Akal atau Pusat Jagaan Harian bagi kanak-kanak cacat akal untuk keperluan perbelanjaan khas.
Geran Perkapita merupakan pemberian tambahan kepada Pertubuhan yang mengendalikan Sekolah Khas bagi Kanak-Kanak Cacat untuk membiayai keperluan pendidikan khas berdasarkan kadar Bantuan Perkapita oleh Kementerian Pelajaran bagi Sekolah Khas Rendah Cacat Pendengaran.

Geran Bantuan Khas Perbendaharaan
Permohonan bantuan kewangan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan untuk pembiayaan program atau aktiviti bagi manfaat kumpulan sasar boleh dipertimbangkan.
Syarat dan kriteria Pertubuhan yang layak dan prosedur untuk memohon hendaklah berpandukan kepada Garis Panduan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. Pertimbangan oleh Jabatan adalah tertakluk kepada Garis Panduan ini dan peruntukan kewangan yang ada.

Geran Perkapita / Emolumen Gaji Guru
Geran Perkapita merupakan pemberian tambahan kepada pertubuhan yang mengendalikan Sekolah khas bagi kanak-kanak cacat untuk membiayai keperluan pendidikan khas berdasarkan kadar batuan Perkapita oleh Kementerian Pelajaran bagi Sekolah Rendah Khas Cacat pendengaran.

Elaun Khas OKU
Dipertimbangkan kepada pertubuhan yang mengendalikan Sekolah Kanak-Kanak Cacat Akal atau Pusat Jagaan Harian bagi OKU. Elaun ini adalah bagi kegunaan OKU yang mendapat latihan dari sekolah atau pusat tersebut.
Kadar adalah sebanyak RM 150.00 sebulan seorang.

Syarat-syarat Pemberian Geran
Pertubuhan Bukan Kerajaan yang telah dipertimbangkan geran perlu memenuhi syarat-syarat berikut:-
a)  Melantik wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri/Daerah untuk menduduki Majlis Kerja atau Jawatankuasa kerja Pertubuhan sebagai “ex-officio”. Peranan wakil Jabatan adalah untuk memberi khidmat nasihat dan menentukan pengurusan pertubuhan secara keseluruhan dari segi perlaksanaan program dan aktiviti, urusan kewangan dan pentadbiran berjalan dengan teratur mengikut peraturan-peraturan berkaitan yang ditetapkan.
b)  Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat lawatan naziran, menyemak rekod-rekod kewangan dan membuat siasatan berdasarkan aduan yang diterima.
c)  Pertubuhan hendaklah memastikan segala urusan kutipan derma mendapat kelulusan Jabatan sebelum dapat dilaksanakan.
Kegagalan untuk mematuhi peraturan sepertimana yang ditetapkan akan menjejaskan pertimbangan ke atas permohonan kutipan derma bagi pertubuhan berkenaan di masa akan datang.
Sehingga kini terdapat 118 buah Pertubuhan Sukarela Kebajikan bagi seluruh daerah di Negeri Johor telah didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor.

ANUGERAH CORPORATE SOCIAL RESPONSIBILITY (CSR)


Objektif penganjuran CSR adalah membantu menggalakkan perkongsian bijak Jabatan dengan sektor swasta / korporat / Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK). Ini bertujuan untuk mengiktiraf usaha, program dan aktiviti ke arah pembangunan sosial yang dijalankan oleh syarikat-syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Saham (PLCs).

Majlis Anugerah CSR pertama telah diadakan pada bulan November 2007.


MAJLIS KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT ( MAYANG )


Tujuan utama MAYANG ditubuhkan sebagai usaha Kerajaan untuk menggemblengkan semua pihak diperingkat akar umbi khususnya masyarakat setempat (reaching out to the community) dalam usaha menangani isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat.

Penubuhan MAYANG ini akan mempertingkatkan lagi jaringan kerja (networking) sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam urusan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk Kerajaan, pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Sektor Korporat dan orang perseorangan selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”.
Semua Ahli Parlimen (MD) di Johor terlibat dengan MAYANG.


DASAR SOSIAL NEGARA (DSN)


Dasar Sosial Negara (DSN) merupakan dasar payung bagi semua dasar pembangunan sosial dan memberi panduan bagi pelaksanaan dan pengurusan pembangunan sosial. Dasar ini diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 19 Februari 2003 dan dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 10 Ogos 2003. DSN ialah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju serta mantap.
Contoh aktiviti:

  • Seminar HIV / AIDS
  • Program Sekolah Anak Didik Kami
  • Kem Motivasi remaja
  • Seminar Pencegahan Penderaan Kanak-Kanak
  • Bengkel Interaktif
  • Seminar Kesedaran Menangani Masalah Sosial

SUKARELAWAN


Sukarelawan Jabatan kebajikan Masyarakat diwujudkan melalui pengemblengan tenaga masyarakat dalam konteks menangani masalah-masalah sosial yang kian meningkat. Ianya beroperasi sebagai pasukan yang peka dan komited dalam kerja-kerja sosial dan kebajikan.
Sukarelawan merupakan sebuah badan sukarela yang bergerak aktif berperanan sebagai agen dalam menjalankan kerja-kerja pencegahan, perlindungan, pemulihan dan pembangunan masyarakat.
Penglibatan adalah dari golongan penuntut maktab / IPT / sektor awam dan swasta serta orang awam. Sehingga akhir tahun 2010 terdapat seramai 600 orang Ahli Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor yang aktif. Perhimpunan Tahunan Sukarelawan diadakan pada setiap tahun bagi memantapkan pasukan ini dalam menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan.
Antara aktiviti yang dijalankan :

  • Perbarisan Hari Kemerdekaan
  • Gotong Royong / Bencana Alam / Aktiviti Alam Sekitar
  • Kursus Motivasi / Seminar / Ceramah
  • Membantu di Majlis Penyampaian bantuan Klien Jabatan
  • Membantu di Majlis Pelancaran Program Pendaftaran OKU
  • Melaporkan perihal orang miskin, OKU, kes deraan dan salahlaku juvana
  • Pendidikan Akademi (Kelas Tuisyen)
  • Khidmat Pra-Kaunseling
  • Program Keagamaan

 


Hakmilik Terpelihara © 2010 - 2012 Laman Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor.
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 7 dan Mozilla Firefox 3 ke atas atau Google Chrome dengan resolusi melebihi 1024 x 768 pixel
Dibangunkan dan dikemaskini oleh Unit Teknologi Maklumat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor